Tuesday 30 June 2015

Pelajar Orang Asli Didakwa Telah Diikat, Ditendang, Dipukul Oleh Beberapa Orang Guru


Kelantan - Seorang pelajar dari suku kaum Teminar didakwa telah diikat, ditendang dan dipukul oleh beberapa orang guru kerana dituduh mencuri wang salah seorang dari guru terbabit, kata Dr. Colin Nicholas, Penyelaras Centre of Orang Asli Concerns(COAC), lapor portal The Malaysian Insider hari ini.

Akibat perbuatan itu, seorang murid tahun 4 di Sekolah Kebangsaan Kuala Betis di Gua Musang di sini mengalami lebam di wajah, lengan dan juga paha.

"Dia dituduh mencuri. Kami tidak tahu jika ia benar tetapi kalau benar pun, ini bukan cara yang betul mengendalikannya," kata Nicholas dalam posting di laman Facebook COAC.

Menurut Nicholas, kejadian berlaku pada 15 Jun tetapi tidak tahu sama ada tindakan sudah diambil atau tidak oleh pihak berkenaan.

Selain itu, Nicholas juga memberitahu ada cubaan mendesak keluarga mangsa menarik balik laporan polis yang dibuat di Balai Polis Daerah Gua Musang pada 27 Jun.

"Saya diberitahu yang guru tersebut masih mengajar di sekolah itu. Guru besar ada datang melawat tetapi meminta keluarga itu menarik balik laporan mereka dan membenarkan sekolah menangani isu itu secara dalaman. Mana boleh buat begini?" kata Nicholas.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan hari ini telah mengarahkan satu siasatan dijalankan keatas dakwaan ini.

Timbalannya, P. Kamalanathan berkata dia telah mengarahkan pegawai pendidikan untuk menyiasat dan menghantar laporan interim secepat mungkin. - Siakapkeli.my


No comments:

Post a Comment